Wednesday 7 September 2011

PROGRAM SINGGAH SAHUR BERSAMA ANAK-ANAK YATIM

Genap 12 hari umat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadah puasa pada bulan puasa yang lalu iaitu pada 12 Ogos 2011, Pembimbing Rakan Siswa (PRS) di bawah Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya (UPPK), dengan kerjasama Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam (JPPI), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah berjaya mengadakan program Singgah Sahur Bersama Anak-anak Yatim di Pertubuhan Pembangunan Anak Yatim Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Kulim, Kilang Lama, Kulim. Program ini telah disertai oleh seramai 40 orang ahli PRS diiringi oleh Pegawai Psikologi dan Kerjaya dan diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya, Cik Siti Zubaidah binti Othman Siru.


Program manis ini diadakan berlandaskan objektif bagi memupuk rasa cinta dan kasih sayang terhadap insan yang kurang bernasib baik, memupuk rasa rendah hati dan syukur terhadap diri ahli PRS disamping menjalinkan hubungan baik dengan pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Program ini juga diadakan bagi mengimarahkan dan menyuburkan lagi bulan mulia Ramadhan Al-mubarak serta membentuk semangat tolong menolong dan mengeratkan hubungan silaturrahim  antara ahli PRS dan JPPI serta Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim.








Pada majlis tersebut sedikit sumbangan telah disampaikan kepada anak-anak yatim hasil kutipan sumbangan jemaah Pusat Islam PTSB. Malah sejumlah sumbangan yang lain telah disampaikan kepada Pertubuhan Pembangunan Anak Yatim Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Kulim hasil sumbangan pensyarah-pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK).

Selain itu, bagi mengeratkan lagi hubungan antara pelajar PTSB dengan anak-anak yatim tersebut, sedikit aktiviti dilaksanakan setelah selesai bersahur dan solat subuh berjemaah pada pagi tersebut. Program ini bermula seawal jam tiga (3) pagi dan berakhir pada jam 10 pagi. Menariknya program ini apabila kehadiran PRS PTSB tidak diketahui anak-anak yatim tersebut dan ahli PRS sama-sama mengejutkan anak-anak yatim tersebut untuk bersiap dan menjamu selera bersama ketika bersahur. Hening pagi terasa indah apabila melihat senyum tawa anak-anak yatim melayan kerenah PRS PTSB.











No comments:

Post a Comment