Wednesday 7 September 2011

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA EMAS RUMAH CAHAYA SUNGAI TENGAS

Pada tanggal 13 Ogos yang lalu, sekali lagi Pembimbing Rakan Siswa (PRS) di bawah Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya (UPPK) dengan kerjasama Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam (JPPI) telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Emas Rumah Cahaya Sungai Tengas, Kulim, Kedah. Program yang disertai oleh 40 orang ahli PRS dan JPPI ini, bermula pada jam lima (5) petang yang mana sebaik sahaja tiba di Rumah Cahaya Sungai Tengas, para peserta telah sama-sama bergerak menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah warga emas. Sumbangan disampaikan dalam bentuk barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, susu, gula, tepung, biskut, teh, kopi dan banyak lagi.









Setelah menyampaikan sumbangan para peserta telah menggunakan masa yang ada dengan beramah mesra dengan setiap warga emas di sana. Seterusnya setelah berbuka puasa bersama, para peserta dan warga meas mengerjakan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah di Masjid bersebelahan dengan Rumah Cahaya tersebut.





Selesai solat sunat Tarawih dan bersalam-salaman, para peserta bertolak pulang semula ke PTSB. Suasana hiba amat terasa apabila warga-warga emas di tersebut mengais menyatakan rindu pada anak cucu.

PROGRAM SINGGAH SAHUR BERSAMA ANAK-ANAK YATIM

Genap 12 hari umat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadah puasa pada bulan puasa yang lalu iaitu pada 12 Ogos 2011, Pembimbing Rakan Siswa (PRS) di bawah Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya (UPPK), dengan kerjasama Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam (JPPI), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah berjaya mengadakan program Singgah Sahur Bersama Anak-anak Yatim di Pertubuhan Pembangunan Anak Yatim Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Kulim, Kilang Lama, Kulim. Program ini telah disertai oleh seramai 40 orang ahli PRS diiringi oleh Pegawai Psikologi dan Kerjaya dan diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya, Cik Siti Zubaidah binti Othman Siru.


Program manis ini diadakan berlandaskan objektif bagi memupuk rasa cinta dan kasih sayang terhadap insan yang kurang bernasib baik, memupuk rasa rendah hati dan syukur terhadap diri ahli PRS disamping menjalinkan hubungan baik dengan pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Program ini juga diadakan bagi mengimarahkan dan menyuburkan lagi bulan mulia Ramadhan Al-mubarak serta membentuk semangat tolong menolong dan mengeratkan hubungan silaturrahim  antara ahli PRS dan JPPI serta Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim.








Pada majlis tersebut sedikit sumbangan telah disampaikan kepada anak-anak yatim hasil kutipan sumbangan jemaah Pusat Islam PTSB. Malah sejumlah sumbangan yang lain telah disampaikan kepada Pertubuhan Pembangunan Anak Yatim Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Kulim hasil sumbangan pensyarah-pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK).

Selain itu, bagi mengeratkan lagi hubungan antara pelajar PTSB dengan anak-anak yatim tersebut, sedikit aktiviti dilaksanakan setelah selesai bersahur dan solat subuh berjemaah pada pagi tersebut. Program ini bermula seawal jam tiga (3) pagi dan berakhir pada jam 10 pagi. Menariknya program ini apabila kehadiran PRS PTSB tidak diketahui anak-anak yatim tersebut dan ahli PRS sama-sama mengejutkan anak-anak yatim tersebut untuk bersiap dan menjamu selera bersama ketika bersahur. Hening pagi terasa indah apabila melihat senyum tawa anak-anak yatim melayan kerenah PRS PTSB.











PERTANDINGAN PAINTBALL PRS PTSB SESI JUN 2011

Paintball merupakan sukan berbentuk peperangan baru di Malaysia. PTSB satu-satunya IPT yang memperkenalkan sukan ini dalam kampus. Permainan ini sememangnya menguji tahap keberanian dan kebijaksanaan para pemain. Kuasa barat telah lama melatih kanak-kanak dan remaja mereka dengan seni peperangan. Jadi, kenapa kita harus terus ketinggalan.



Menyahut cabaran ini, Pembimbing Rakan Siswa (PRS) di bawah Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya (UPPK), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) telah mengadakan Pertandingan Paintball PRS PTSB Sesi Jun 2011 pada 26 dan 27 Julai 2011. Pertandingan yang diadakan selama dua (2) hari ini telah disertai oleh 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PRS sendiri.




Pertandingan ini diadakan dengan objektif membentuk semangat juang dan keberanian dalam diri setiap ahli PRS, membentuk ahli PRS yang bersemangat kental terhadap cabaran, memupuk semangat berpasukan dalam setiap perjuangan, mendedahkan ahli PRS dengan strategi-strategi peperangan serta menyampaikan mesej bahawa peperangan adalah jalan terakhir dalam setiap perjuangan (jihad).

Pertandingan ini telah dimenangi oleh pasukan dari Kumpulan Tiga yang terdiri daripada Nurul Jalilah binti Johari, Fatin Zulaikha binti Mat Daud dan Che Fatin Fatiha binti Herman bagi kategori wanita. Sementara bagi kategori lelaki, pertandingan ini telah dijuarai oleh pasukan dari Kumpulan Tujuh yang dianggotai oleh Muhammad Rizqhin bin Abdul Halim, Muhd Shaharudin bin Mohamud, Muhd Hidzir bin Abd Rahim dan Muhammad Syahmi bin Kamaruddin.


Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Psikologi dan Kerjaya, Cik Siti Zubaidah binit Othman Siru.



Tuesday 6 September 2011

Selamat Datang !

Assalamualaikum W.B.T. & Salam Manis dari Pembimbing Rakan Siswa (PRS) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).

Laman blog yang baru diwujudkan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk berkongsi dengan pelayar-pelayar semua  akan aktiviti, ilmu, pengalaman dan kenangan yang dilalui oleh ahli PRS PTSB. Semoga kita semua beroleh manfaat dari usaha yang tidak seberapa ini.

Semoga blog ini mampu menjadi satu wadah perkongsian sebahagian kisah alam dan mampu menjadi bekalan untuk akhirat bagi kita semua...

Untuk itu sahaja dahulu... bantu diri bantu rakan... PRS PTSB HEBAT!!!...

teruskan bersama kami...

terima kasih atas kesudian anda semua..

Wassalam..